Thursday, December 8, 2011

Menjelajah Dunia (Part I)

Membaca buku Cinta di langit GAZA benar-benar terasa seperti menjelajah satu dunia. Buku yang dikarang oleh Riduan Mohamad Nor, seorang aktivis NGO Muslim Care banyak berkongsi tentang suasana dan pengalaman beliau sepanjang misi kemanusiaan. Pendek kata buku ini merupakan satu koleksi pengalaman membantu umat Islam di merata tempat. Jika diteliti cukup menarik, budaya dan adat masyarakat sedunia memang berbeza. Apatah lagi kerenah seseorang dengan pelbagai rupa dan rencah. Kadang sangat memualkan dan menjijikan jiwa tapi ada juga yang sangat menenangkan dan mententeramkan hati. Dengan ruang yang serba singkat dan sangat terbatas ini, jom kita pula mengembara dan menjelajah, menapaki beberapa tempat untuk dijadikan ikhtibar dan mengutip ibrah daripadanya. 

BANGLADESH

Negara umat Islam yang sangat miskin dengan kepadatan penduduknya yang sangat tinggi. Ibu negara Bangladesh, Dhaka juga kaya dengan kemiskinan. Bangladesh mempunyai penduduk Islam yang ramai dengan jaringan madrasah, sekolah-sekolah agama, sekolah-sekolah tahfiz yang berselerak di seluruh Negara.

Negara ini mempunyai kadar pengangguran yang tinggi, sumber ekonomi juga terhad untuk menampung penduduk yang ramai. Kadar kelahiran yang tinggi tidak diimbangi dengan sumber ekonomi yang efisyen. Kesannya, ramai melakukan migrasi ke luar Negara seperti Negara-negara Arab, Eropah, juga ke Negara membangun yang lain seperti Malaysia. Tidak pelik jika warganya tidak jijik untuk bekerja sebagai pencuci kebersihan dan melakukan kerja-kerja memburuh untuk mencari sesuap rezeki.

Negara ini sentiasa menghadapi ancaman alam seperti banjir, taufan dan cuaca ekstrem yang mengancam kehidupan rakyat. Fenomena alam yang tidak menentu menyebabkan agak sukar kepada rakyat dan kerajaan untuk menggerakkan ekonomi pada tahap yang cekap.

Negara ini juga mempunyai sejarah panjang pergolakan politik semenjak perang saudara pada tahun 1960an, tidak pernah sunyi daripada sengketa politik semenjak berpisah dengan Pakistan pada tahun 1971. Rusuhan dan pembunuhan ialah sebahgian sketsa persaingan kuasa dan inilah faktor mengapa negara ini bukan pilihan kepada pelancong asing dan tidak mampu menarik pelaburan luar.

Namun demikian, rakyat Bangladesh amat mesra solat berjemaah, kehadiran ke masjid amat memberangsangkan setiap kali lantunan azan menggema di udara. Dhaka menjadi tapak subur kepada gerakan Islam dan gerakan dakwah seperti Jamiat Islami dan jamaah Tabligh. Jamiat Islami merupakan organisasi kuat di lima buah Negara di Sub Continent, Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Afghanistan.


PAKISTAN

Sikap orang Pakistan sangat menjaga maruah wanitanya. Ia bukan sahaja berkait dengan agama namun juga berkait dengan budaya masyarakat tempatan Pakistan. Berada di Pakistan, jangan cuba-cuba untuk melirik pandangan mata anda sesuka hati terhadap wanita, risikonya cukup mengerikan seperti dikeronyok oleh lelaki-lelaki mereka yang cukup kuat perasaan cemburu.

Di Malaysia kita akan melihat dengan jelas akibat hilang cemburu kepada maruah wanita, anak-anak gadis dengan mudah membiarkan mahkota mereka hilang dalam usia yang masih remaja sebagaimana kajian yang dibuat oleh Durex sex global. Kes anak luar nikah juga telah meningkat dengan mendadak dalam alaf baru ini. Orang Melayu di Malaysia termasuk di Indonesia telah hilang rasa cemburu kepada maruah wanita. Perubahan sikap ini seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat berkembang. Di era langit terbuka, pemikiran masyarakat semakin liberal dengan anak gadis dibebaskan daripada kongkongan keluarga, trend membuka aurat pula semakin popular dikalangan wanita Negara kita.

Di Bandar-bandar kecil Pakistan, amat sukar melihat anak-anak gadis berkeliaran di jalanan atau di Bandar tanpa tujuan. Jika seorang gadis keluar biasanya diiringi dengan rombongan yang ramai ahli keluarga. Sekolah-sekolah diasingkan diantara lelaki dan perempuan, kenderaan awam juga sama apabila pintu di sebelah belakang untuk lelaki. Bahkan di masjid-masjid juga, tiada tempat yang dikhaskan kepada wanita kerana golongan wanita bersolat di rumah. Di desa-desa Pakistan, kaum lelaki membanting tulang dan kaum perempuan berada di rumah menguruskan keluarga. Cuma di kawasan Bandar telah mengalami perubahan.

Bagi rakyat Pakistan mereka telah biasa dengan pengasingan ini dan member kesan moral yang cukup baik kepada Negara. Mereka tidak disibukkan dengan percintaan dan pertemuan kerana urusan perkahwinan adalah ditentukan oleh keluarga. Kecuali di Bandar-bandar besar seperti Karachi yang mula menerima pengaruh barat, wanita berpakaian barat mula menjadi fenomena baru. Globalisasi Amerika berintikan protocol Yahudi telah meratah syakhsiah umat Islam terutama golongan wanita.


KEMBOJA 

Bandar Pnomp Penh, kota yang menjadi saksimata kekejaman regim Pol Pot menyembelih umat Islam sehingga mencecah jutaan manusia, kegilaan regim komunis ini telah membekaskan perit yang tajam serta api dendam yang sentiasa dibumbui sepanjang hayat kepada mangsa. Bumi bersejarah ini pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama.

Negara ini kadar jenayahnya cukup tinggi seakan Amerika Latin, senjata api masih didagang dengan bebas. Ketenangan Kemboja (Kampuchea) sentiasa dikocak dengan berita jenayah, samun senjata api, rogol, pembunuhan, korupsi gotong-royong. Tidak pelik kerana papan iklan gergasi di kota kumuh itu sering bersaing iklan jenama arak, diselang dengan iklan rokok yang pelbagai.

Gambaran sebuah kota yang penat selepas zaman perang yang panjang. Wajah bandar yang cukup hodoh dengan jaringan trafik yang lintang pukang, ditambah cara wanitanya memperagakan diri. Kota ini dilatari dengan perempuan jalanan yang menjual ‘sekangkang peha’ untuk menyuap mulut. Cuma mungkin tidak sehebat kota Bangkok yang menjadikan pelacuran sebagai sumber pendapatan Negara.

Menyusuri Sungai Mekong, terkedu melihat ‘manusia bot’ yang berasal dari Vietnam yang berumahkan bot dengan anak-anak kecil membesar dalam perahu tanpa halaman rumah! Mereka ini beragama Buddha, tetapi jika pendakwah Islam mendekati dan menyantuni mereka, dengan mudah mereka akan memeluk agama Islam.

Perlu ada usaha menyemarakkan lagi gerakan dakwah di sana kerana Kemboja memerlukan kepada pemurnian semula kefahaman agama. Mereka dalam tempoh yang panjang hidup dalam dasar pemencilan agama dibuat oleh regim komunis. Masyarakat Muslim Kemboja pula terperuk dalam lingkaran ganas kemiskinan yang berakar hampIr seabad yang lalu. Pemencilan terhadap masyarakat Muslim berlaku secara sistematik.

No comments:

Fafiru Ilallah - Larilah Pada Allah
-JASAD DI DUNIA, TAPI HATI DI AKHIRAT-
Blog Widget by LinkWithin